Siti Fatimah Az Zahra r.a
Lahirnya Siti
Fatimah Az Zahra r.a
merupakan rahmat yang telah dilimpahkan Ilahi kepada Nabi Muhammad SAW. Ia
telah menjadi wadah suatu keturunan yang suci. Ia laksana benih yang akan
menumbuhkan pohon besar penyambung keturunan Rasulullah SAW. Ia satu-satunya yang menjadi
sumber keturunan paling mulia yang dikenali umat Islam di seluruh dunia. Siti Fatimah Az
Zahra r.a dilahirkan di Makkah, pada hari Jumaat, 20 Jamadil Akhir, lebih
kurang lima tahun sebelum Rasulullah SAW di angkat menjadi Rasul.
Siti Fatimah Az Zahra r.a membesar di bawah naungan
wahyu Ilahi, di tengah kancah pertarungan sengit antara Islam dan jahiliyah, di
kala sedang hebatnya perjuangan para perintis iman melawan penyembah berhala.
Ketika masih kanak-kanak, Siti Fatimah Az Zahra r.a
sudah mengalami penderitaan, merasakan kehausan dan kelaparan. Dia berkenalan
dengan pahit getirnya perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Lebih dari
tiga tahun, dia bersama ayah bondanya hidup menderita dibuang daerah akibat
pemboikotan orang-orang kafir Quraisy terhadap keluarga Bani Hasyim.
Setelah bebas penderitaan setelah 3 tahun diboikot,
datang pula ujian berat atas diri Siti Fatimah Az Zahra r.a, apabila wafatnya
bonda tercinta, Siti Khadijah r.a. Perasaan sedih selalu sahaja menyelubingi
hidup sehari-harinya dengan putusnya sumber kecintaan dan kasih sayang ibu.
Rasulullah SAW sangat mencintai puterinya ini. Siti
Fatimah Az Zahra r.a adalah puteri bongsu yang paling disayang dan dikasihani
junjungan kita Rasulullah SAW. Nabi Muhammad SAW merasa tidak ada seorang pun
di dunia, yang paling berkenan di hati baginda dan yang paling dekat di sisinya
selain puteri bongsunya itu.
Demikian besar rasa cinta Rasulullah SAW kepada
puteri bongsunya itu dibuktikan dengan Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas.
Menurut Hadis tersebut, Rasulullah SAW berkata kepada Sayyidina
Ali r.a demikian:
“Wahai Ali,
sesungguhnya Fatimah adalah bahagian dari aku. Dia adalah cahaya mataku dan
buah hatiku. Barang siapa menyusahkan dia, ia menyusahkan aku, dan siapa yang
menyenangkan dia, ia menyenangkan aku…”
Penyataan baginda itu bukan sekadar cetusan emosi,
melainkan suatu penegasan bagi umatnya, bahawa puteri baginda itu merupakan
lambang keagungan peribadi yang ditinggalkan di tengah umatnya.
Ketika masih kanak-kanak, Siti Fatimah Az Zahra r.a
menyaksikan sendiri ujian-uijian getir yang dialami oleh ayah bondanya, baik
berupa gangguan-gangguan, mahupun penganiayaan-penganiayaan yang dilakukan
orang-orang kafir Quraisy. Siti Fatimah hidup di udara Makkah yang penuh dengan
debu perlawanan orang-orang kafir terhadap keluarga Nubuwah, keluarga yang
menjadi pusat iman, hidayah dan keutamaan. Dia menyaksikan keteguhan dan
ketegasan orang-orang mukmin dalam perjuangan gagah berani menghadapi
komplot-komplot Quraisy. Suasana perjuangan itu membekas sedalam-dalamnya pada
jiwa Siti Fatimah Az Zahra r.a dan memainkan peranan penting dalam pembentukan
peribadinya, serta mempersiapkan kekuatan rohaniah bagi menghadapi
kesukaran-kesukaran di masa depan.
Setelah ibunya wafat, Siti Fatimah Az Zahra r.a
hidup bersama ayahandanyaa. Satu-satunya orang yang paling dicintai. Dialah
yang meringankan penderitaan Rasulullah SAW ketika ditinggal wafat isteri
baginda, Siti Khadijah. Pada suatu hari Siti Fatimah Az Zahra r.a menyaksikan
ayahnya pulang dengan kepala dan tubuh penuh pasir, yang baru saja dilemparkan
oleh orang-orang Quraisy, di saat ayahandanya sedang sujud. Dengan hati
remuk-redam laksana disayat sembilu, Siti Fatimah r.a segera membersihkan
kepala dan tubuh ayahandanya. Kemudian diambilnya air untuk mencucinya. Dia
menangis tersedu-sedu menyaksikan kekejaman orang-orang Quraisy terhadap
ayahnya.
Kesedihan hati puterinya itu dirasakan benar oleh
Nabi Muhammad SAW. Untuk menguatkan hati puterinya dan meringankan rasa
sedihnya, maka Nabi Muhammad SAW sambil membelai-belai kepala puteri bongsunya
itu, berkata, “Jangan
menangis…, Allahmelindungi
ayahmu dan akan memenangkannya dari musuh-musuh agama dan risalah-Nya.”
Dengan tutur kata penuh semangat itu, Rasulullah
SAW menanamkan daya juang yang tinggi ke dalam jiwa Siti Fatimah r.a dan
sekaligus mengisinya dengan kesabaran, ketabahan serta kepercayaan bahawa Islam
akan menang. Meskipun orang-orang sesat dan derhaka seperti kafir Quraisy itu
sentiasa mengganggu dan melakukan penganiayaan-penganiayaan, namun Nabi
Muhammad SAW tetap melaksanakan tugas risalahnya.
Pada ketika lain, Siti Fatimah r.a menyaksikan
ayahandanya pulang dengan tubuh penuh dengan kotoran kulit janin unta yang baru
dilahirkan. Yang melemparkan kotoran atau najis ke punggung Rasulullah SAW itu
adalah Uqbah bin Mu’aith, Ubay bin Khalaf dan Umayyah bin Khalaf. Melihat
ayahandanya berlumuran najis, Siti Fatimah r.a segera membersihkannya dengan
air sambil menangis.
Nabi Muhammad rupa-rupanya menganggap perbuatan
ketiga kafir Quraisy itu sudah keterlaluan. Kerana itulah maka pada waktu itu
baginda memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT: “Ya Allah,
celakakanlah orang-orang Quraisy itu. Ya Allah, binasakanlah Uqbah bin Mu’aith,
ya Allah binasakanlah Ubay bin Khalaf dan Umayyah bin Khalaf.”
Masih banyak lagi pelajaran yang diperolehi Siti
Fatimah dari penderitaan ayahandanya dalam perjuangan menegakkan kebenaran
Allah. Semuanya itu menjadi bekal hidup baginya untuk menghadapi masa mendatang
yang berat dan penuh ujian. Kehidupan yang serba berat dan keras di kemudian
hari memang memerlukan kekuatan jiwa dan mental.
Tepat pada saat orang-orang Quraisy selesai
mempersiapkan komplot untuk membunuh Rasulullah SAW, Madinah telah siap
menerima kedatangan baginda. Nabi Muhammad meninggalkan kota Makkah secara diam-diam di tengah kegelapan
malam. Baginda bersamaAbu Bakar As Siddiq meninggalkan kampung
halaman, keluarga tercinta dan sanak saudara. Baginda berhijrah sepertimana
dahulu pernah juga dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Musa a.s.
Di antara orang-orang yang ditinggalkan Nabi
Muhammad SAW termasuk puteri kesayangan baginda, Siti Fatimah r.a dan putera
bapa saudara baginda yang diasuh dengan kasih sayang sejak kecil, iaitu
Sayyidina Ali r.a yang selama ini menjadi pembantu yang paling dipercayai oleh
baginda.
Sayyidina Ali r.a sengaja ditinggalkan oleh Nabi
Muhammad untuk melaksanakan tugas khas, iaitu berbaring di tempat tidur baginda
untuk mengaburi mata orang-orang Quraisy yang bersedia hendak membunuh baginda.
Sebelum Sayyidina Ali r.a melaksanakan tugas tersebut, ia dipesan oleh Nabi
Muhammad SAW agar barang-barang amanah yang ada pada baginda dikembalikan
kepada pemiliknya masing-masing. Setelah itu bersama semua anggota keluarga,
Rasulullah SAW segera menyusul berhijrah.
Sayyidina Ali r.a membeli seekor unta untuk
kenderaan bagi wanita yang akan berangkat hijrah bersama-sama. Rombongan hijrah
yang menyusul perjalanan Rasulullah SAW terdiri dari keluarga Bani Hasyim dan
dipimpin sendiri oleh Sayyidina Ali r.a. Di dalam rombongan Sayyidina Ali r.a
ini termasuk Siti Fatimah r.a, Fatimah binti Asad bin Hasyim (ibu Sayyidina Ali
r.a), Fatimah binti Zubair bin Abdul Mutalib dan Fatimah binti Hamzah bin Abdul
Mutalib. Aiman dan Abu Waqid Al Laitsiy ikut bergabung dalam rombongan.
Rombongan Sayyidina Ali r.a berangkat dalam keadaan
terburu-buru. Perjalanan ini tidak dilakukan secara diam-diam. Abu Waqid
berjalan cepat-cepat menuntun unta yang ditunggang oleh kaum wanita, agar
jangan dikejar oleh orang-orang Quraisy. Mengetahui hal itu, Sayyidina Ali r.a
segera memperingatkan Abu Waqid, supaya berjalan perlahan-lahan, kerana semua
penumpangnya adalah wanita. Rombongan berjalan melalui padang pasir di bawah
sengatan terik matahari.
Di Dhajnan, rombongan Sayyidina Ali r.a
beristirehat semalam. Ketika itu tiba pula Ummu Aiman (ibu Aiman). Ia menyusul
anaknya yang telah berangkat lebih dahulu bersama Sayyidina Ali r.a. Bersama
Ummu Aiman turut pula sejumlah orang muslimin yang berangkat hijrah. Waktu itu
masing-masing sungguh sangat rindu ingin segera bertemu dengan Rasulullah SAW.
Waktu itu Rasulullah SAW bersama Abu Bakar As
Siddiq sudah tiba dekat kota Madinah. Untuk beberapa waktu, baginda tinggal di
Quba. Baginda menanti kedatangan rombongan Sayyidina Ali r.a. Rasulullah SAW
memberitahu Abu Bakar As Siddiq bahawa baginda tidak akan memasuki kota
Madinah, sebelum putera bapa saudaranya dan puterinya sendiri datang.
Selama dalam perjalanan itu, Sayyidina Ali r.a
tidak berkenderaan sama sekali. Ia berjalan kaki menempuh jarak 450 km sehingga
kakinya pecah-pecah dan membengkak. Akhirnya tibalah semua anggota rombongan
dengan selamat di Quba. Betapa gembiranya Rasulullah SAW menyambut kedatangan
orang-orang yang disayanginya itu.
Ketika Nabi Muhammad SAW melihat Sayyidina Ali r.a
tidak dapat berjalan kaki kerana kakinya membengkak, baginda merangkul dan
memeluknya sambil menangis kerana sangat terharu. Baginda kemudian meludah di
atas tapak tangan lalu diusapkan pada kaki Sayyidina Ali r.a. Dikatakan sejak
itu sehinggalah wafatnya, Sayyidina Ali r.a tidak pernah mengeluh kerana sakit
kaki.
Peristiwa yang sangat mengharukan itu sangat
memberi kesan dalam hati Rasulullah SAW dan tidak dilupakan selama-lamanya.
Berhubung dengan peristiwa itu, turunlah wahyu Ilahi yang memberi penilaian
tinggi kepada kaum Muhajirin, seperti terdapat dalam surah Ali Imran ayat 195.
Ijab Kabul Pernikahan
Siti Fatimah Az Zahra r.a mencapai puncak keremajaan dan kecantikannya ketika Islam dibawa Nabi Muhammad SAW sudah maju dengan pesat di Madinah dan sekitarnya. Ketika itu Siti Fatimah Az Zahra r.a benar-benar telah menjadi anak gadis remaja.
Siti Fatimah Az Zahra r.a mencapai puncak keremajaan dan kecantikannya ketika Islam dibawa Nabi Muhammad SAW sudah maju dengan pesat di Madinah dan sekitarnya. Ketika itu Siti Fatimah Az Zahra r.a benar-benar telah menjadi anak gadis remaja.
Keelokan parasnya banyak menarik perhatian. Tidak
sedikit pemuda terhormat yang menaruh harapan ingin mempersuntingkan puteri
Rasulullah SAW itu. Beberapa orang terkemuka dari kaum Muhajirin dan Ansar
telah berusaha melamarnya. Menangani lamaran itu, Nabi Muhammad SAW menyatakan
bahawa baginda sedang menanti datangnya petunjuk dari Allah SWT mengenai
puterinya itu.
Pada suatu hari Abu Bakar As Siddiq r.a, Umar Ibnul
Khattab r.a dan Saad bin Muaz bersama-sama Rasulullah SAW duduk dalam masjid
baginda. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri
Rasulullah SAW. Ketika itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As Siddiq r.a, “Apakah engkau bersedia
menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi
Thalib?”
Abu Bakar As Siddiq r.a menyatakan kesediaannya. Ia
berangkat untuk menghubungi Sayyidina Ali r.a. Sewaktu Sayyidina Ali r.a
melihat datangnya Abu Bakar As Siddiq r.a dengan tergopoh-gopoh, ia
menyambutnya dengan terperanjat kemudian bertanya, “Anda datang membawa berita apa?”
Setelah duduk rehat sejenak, Abu Bakar As Siddiq
r.a segera memperjelaskan persoalannya, “Wahai
Ali, engkau adalah orang pertama yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta
mempunyai lebih keutamaan dibandingkan dengan orang lain. Semua sifat utama ada
pada dirimu. Demikian juga engkau adalah kerabat Rasulullah. SAW. Beberapa
orang Sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk dapat
mempersuntingkan puteri baginda. Lamaran itu semuanya baginda tolak. Baginda
menyatakan, bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah SWT. Akan
tetapi, wahai Ali, apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah
menyebut-nyebut puteri baginda itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk
dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah dan Rasul-Nya akan menahan
puteri itu untukmu.”
Mendengar perkataan Abu Bakar r.a itu, mata
Sayyidina Ali r.a. berlinang-linang. Menanggapi kata-kata itu, Sayyidina Ali
r.a. berkata,“Wahai Abu Bakar, anda telah membuat hatiku goncang yang
sebelumnya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi
Allah, aku memang menghendaki Fatimah, tetapi yang menjadi
penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”
Abu Bakar r.a terharu mendengar jawapan Sayyidina
Ali yang menyentuh perasaan itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati
Sayyidina Ali r.a, Abu Bakar berkata, “Wahai
Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan Rasul-Nya, dunia dan
seisinya ini hanyalah ibarat debu bertaburan belaka!”
Setelah berlangsung dialog seterusnya, Abu Bakar
r.a berjaya mendorong keberanian Sayyidina Ali r.a. untuk melamar puteri
Rasulullah SAW.
Beberapa waktu kemudian, Sayyidina Ali r.a datang
menghadap Rasulullah SAW yang ketika itu sedang berada di tempat kediamanUmmu
Salamah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salamah bertanya kepada
Rasulullah SAW, “Siapakah
yang mengetuk pintu?” Rasulullah menjawab, “Bangunlah dan bukakan pintu
baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan Rasul-Nya, dan ia pun mencintai
Allah dan Rasul-Nya!”
Jawapan Nabi Muhammad SAW itu belum dapat memuaskan
hati Ummu Salamah r.a. ia bertanya lagi, “Ya,
tetapi siapakah dia itu?”
“Dia saudaraku, orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad SAW.
Tercantum dalam banyak riwayat, bahawa Ummu Salamah
di kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai kunjungan Sayyidina
Ali r.a kepada Nabi Muhammad SAW itu: “Aku
berdiri cepat-cepat menuju ke pintu, sampai kakiku terhantuk-hantuk. Setelah
pintu kubuka, ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Thalib. Aku lalu
kembali ke tempatku semula. Dia masuk, kemudian mengucapkan salam dan dijawab
oleh Rasulullah SAW. Ia dipersilakan duduk di depan baginda. Ali bin Abi Thalib
menundukkan kepala, seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak
mengutarakannya.
Rasulullah mendahului berkata, “Wahai Ali, nampaknya engkau
mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja
yang engkau perlukan, akan kauperoleh dariku!”
Mendengar kata-kata Rasulullah SAW itu, lahir
keberanian Ali bin Abi Thalib untuk berkata, “Maafkanlah
aku, ya
Rasulullah. Engkau tentu ingat bahawa engkau telah mengambil aku
dari bapa saudara engkau, Abu Thalib dan ibu saudara engkau,
Fatimah binti Asad, ketika aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa. Sesungguhnya
Allah telah
memberi hidayah kepadaku melalui engkau juga. Dan engkau, ya Rasulullah, adalah
tempat aku bernaung dan engkau jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan
Akhirat. Setelah Allah membesarkan aku dan sekarang menjadi dewasa, aku ingin
berumah tangga, hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap
untuk melamar puteri engkau, Fatimah. Ya Rasulullah, apakah engkau berkenan
menyetujui untuk menikahkan diriku dengannya?”
Ummu Salamah meneruskan kisahnya, “Ketika itu kulihat wajah
Rasulullah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum baginda berkata kepada Ali bin Abi
Talib, “Wahai Ali, apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?”
“Demi Allah,” jawab Ali bin Abi Talib dengan terus
terang, “Engkau sendiri
mengetahui bagaimana keadaanku, tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak
engkau ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi, sebilah
pedang dan seekor unta.”
“Tentang pedangmu itu,” kata Rasulullah menanggapi jawapan Ali
bin Abi Talib, Demikianlah riwayat yang diceritakan Ummu Salamah r.a.
Setelah segala-galanya siap, dengan perasaan puas
dan hati gembira, dengan disaksikan oleh para Sahabat, Rasulullah mengucapkan
kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahawasanya
Allah SWT memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas mas kahwin
400 dirham (nilai sebuah baju besi). Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal
itu.”
“Ya, Rasulullah, itu kuterima dengan baik, “ jawab Ali bin Abi Tali r.a dalam
pernikahan itu.
Demikianlah berlakunya pernikahan antara dua orang
yang sangat dicintai oelh Rasulullah SAW yakni puterinya, Siti Fatimah dan
Sahabat yang jua merupakan sepupu baginda yakni Sayyidina Ali. Rasulullah SAW
mendoakan keberkahan atas perkahwinan itu.
Sejarah menyaksikan bahawa Fatimah puteri
Rasulullah adalah seorang wanita mulia yang menempuh berbagai ujian yang
memerlukan pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya. Walaupun beliau adalah
puteri Rasulullah, namun hidupnya bukannya disaluti kemewahan dan kesenangan,
tetapi kemiskinan dan kesusahan. Apabila berkahwin dengan Saidina Ali,
kehidupannya tetap susah. Walaupun Rasulullah pemilik kepada seluruh kekayaan
di muka bumi tapi baginda tidak pernah mendidik anaknya dengan kemewahan.
Sewaktu menjadi isteri Sayyidina Ali, Siti Fatimah
menguruskan sendiri keperluan rumahtangganya. Sayyidina Ali sering tiada kerana
keluar berjuang bersama Rasulullah SAW. Setiap hari, Siti Fatimah mengangkut
air dari sebuah perigi yang jauhnya dua batu dari rumahnya. Beliau mengisar
tepung untuk keperluan makanan keluarganya. Dalam serba susah dan miskin,
beliau tetap ingin bersedekah walaupun hanya dengan sebelah biji kurma. Siti
Fatimah tidak pernah mengeluh atau menyalahkan suaminya terhadap kesusahan yang
terpaksa dihadapinya. Bahkan dikatakan bahawa seluruh kesusahan wanita di dunia
ini telah ditanggung oleh beliau sehingga beliau tidak perlu dipologamikan.
Wanita mulia ini sangat pemalu dan sangat menjaga maruah dirinya.
Sewaktu Rasulullah SAW hampir wafat, dia menemani
ayahnda kesayangannya itu. Ketika itu Rasulullah SAW telah berbisik ke telinga
kanannya. Rasulullah memberitahu Siti Fatimah bahawa sudah sampai masanya untuk
baginda mengadap Tuhan. Siti Fatimah sungguh sedih kerana akan berpisah dengan
ayah yang sangat dikasihinya. Kemudian baginda berbisik ke telinga kirinya
pula. Siti Fatimah tersenyum gembira. Rupa-rupanya, Rasulullah SAW menyatakan
bahawa Siti Fatimah adalah orang yang pertama yang akan menyusuli baginda.
Siti Fatimah meninggal di usia 28 tahun, lebih
kurang lima bulan selepas wafatnya Rasulullah SAW.
No comments:
Post a Comment